Perdana Menteri Arah Semua Agensi Kerajaan Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir
JITRA, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua agensi kerajaan persekutuan supaya turun segera memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis.
Beliau berkata bantuan yang diberi tidak boleh bersifat diskriminasi dan mengira fahaman politik, sebaliknya perlu sama rata.
"Saya faham betapa seriusnya keadaan banjir di Kedah dan Perlis dan saya akan buat apa sahaja untuk membantu mangsa banjir," kata Najib semasa dihubungi Setiausaha Politiknya Datuk Shahlan Ismail yang melawat ke Kampung Pulau Timbul dekat sini pada Sabtu.
Dalam perbualan telefon itu, kata Shahlan, Najib turut bertanyakan tentang situasi banjir yang melanda negeri itu dan berharap agar rakyat bersabar.
Beliau berkata Perdana Menteri, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatannya.
Sementara itu, Shahlan berkata Pejabat Perdana Menteri merancang untuk memberi keperluan selepas banjir, misalnya dapur gas, kepada mangsa yang terbabit.
"Kita akan minta bantuan daripada syarikat-syarikat korporat seperti Proton Holdings Berhad, Bank Muamalat, Bank Rakyat dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) bagi memberi bantuan dapur gas tersebut," katanya.
Beliau berkata Badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta turun untuk sama membantu mangsa banjir selepas banjir reda.
"Kita turut sediakan 10,000 unit dapur gas kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis. Saya sedang berurusan dengan agensi-agensi untuk menyalurkan bantuan itu," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom yang turut berada di kampung itu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, berkata semua mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya tanpa mengira fahaman politik.
"Dalam situasi sekarang, soal politik perlu diketepikan," katanya.
Beliau berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Majlis Keselamatan Negara akan menilai kerosakan pertanian dan memberi bantuan seperti biasa selepas banjir pulih.
-- BERNAMA
Sabtu, 6 November 2010
Banjir di kedah Jalan kuala sungai ke alor janggus
banjir di kedah Jalan kuala sungai ke alor janggus
Banjir Kilat Lebuh Raya Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah
Banjir Kilat Lebuh Raya Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah
Banjir di Alor Setar - Jalan Sultanah (dekat masjid)
Banjir di Alor Setar - Jalan Sultanah (dekat masjid)
Langgan:
Catatan (Atom)