Kementerian Pertanian beri bantuan segera kepada petani di Kedah, Perlis
ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyalurkan bantuan segera sebanyak RM26 juta kepada petani yang sawah padi mereka rosak dalam kejadian banjir di Kedah dan Perlis sejak 1 November lalu.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata pihaknya amat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka dan akan memberi bantuan awal agar dapat meringankan beban golongan itu yang mengalami kerugian apabila sawah mereka rosak akibat bencana banjir besar yang melanda kedua-dua negeri itu.
"Pihak kementerian akan memberi input-input pertanian seperti benih padi, baja dan lain-lain yang diperlukan petani untuk membuat tanam semula setelah sawah padi mereka ditenggelami banjir.
"Ini kerana rata-rata padi berusia dalam lingkungan 30 hari yang membabitkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan luar Mada berjumlah 45,453 hektar," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat penempatan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim dekat sini hari ini.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengerusi MADA, Datuk Seri Mahadzir Khalid, dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Bashah Md Hanipah.
Kawasan MADA yang terbabit ialah 30,052 hektar, luar MADA (Kedah) sebanyak 8,098 hektar dan luar MADA (Perlis) sebanyak 7,303 hektar.
Noh berkata, pihaknya mahu petani yang terjejas akibat banjir membuat tanaman semula bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti pertanian seperti biasa dan memperoleh hasil pada masa yang ditetapkan.
"Sehingga kini 45,000 hektar kawasan tanaman padi rosak akibat banjir dan ini sudah tentu akan menjejaskan pengeluaran padi negara," katanya.+
Noh berkata, bantuan juga diberikan kepada mereka yang mengusahakan ternakan haiwan seperti ikan air tawar dan ayam yang turut musnah akibat banjir besar itu.
Katanya, bantuan akan disalurkan kepada mereka melalui agensi di bawah kementerian bagi membolehkan mereka beroperasi semula.
"Mereka yang terjejas pendapatan akibat banjir dan tidak mampu untuk membayar semula pinjaman yang dibuat di Tekun dan Agro Bank, kami akan membuat kajian secara terperinci bagi meringankan pembayaran balik pinjaman mereka," katanya. - BERNAMA